KUALA LUMPUR, 11 Jun: Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 terus menegaskan komitmennya terhadap integrasi kewangan serantau.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Yang berkata, bagi menghadapi cabaran dan memanfaatkan peluang semasa, kerjasama kewangan serantau yang lebih kukuh antara negara anggota ASEAN sangat diperlukan.
Pada masa sama, katanya ASEAN juga memerlukan kerjasama yang lebih erat antara sektor awam dan swasta.
“Dalam konteks ini, ASEAN dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) perlu memainkan peranan yang sangat penting sebagai platform bagi tindakan yang selaras dan kolektif dalam kalangan negara anggota.
“Selain itu, ia turut melibatkan tindakan untuk memperkukuh penglibatan kerajaan dan kawal selia bersama sektor swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Asia Tenggara ABAC–ASEAN-BAC–APFF 2025 di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Ahli ABAC Jepun dan Pengerusi Bersama Forum Dasar Kewangan Asia Pasifik (APFF), Mitsuhiro Furusawa, Ahli ABAC Thailand dan Pengerusi Bersama APFF, Kobsak Duangdee dan Pengarah Eksekutif, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia, Jukhee Hong.
Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, menteri – menteri kewangan dan gabenor bank pusat ASEAN sepakat menekankan kepentingan penglibatan rakan industri, termasuk Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dalam memacu integrasi kewangan serantau dalam satu mesyuarat pada April lalu.
Katanya, kesemua mereka turut mengiktiraf peranan penting sektor swasta dalam menyokong proses peralihan rantau ini melalui pembiayaan, pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti, inisiatif pembayaran rentas sempadan serta penyelesaian bagi menangani risiko penipuan dan ‘scam’. – TVS