SIBU, 11 Jun: Seorang wanita mengalami kecederaan ringan apabila tangannya melecur dalam satu kejadian kebakaran melibatkan tiga buah rumah dua tingkat di Jalan Bunga Raya, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.53 pagi, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dan BBP Sungai Merah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran membabitkan tiga buah rumah berstruktur kekal iaitu Lot 23A yang musnah 100 peratus, manakala Lot 23B dan Lot 26A masing-masing terbakar 50 peratus.
“Empat buah kenderaan turut musnah sepenuhnya dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, wanita dewasa yang mengalami kecederaan ringan itu diberikan rawatan awal oleh Unit EMRS di lokasi.
Operasi pemadaman diketuai Ketua Zon Sibu, PgKB I Andy Alie dan berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.40 pagi.
Sebanyak 18 anggota dengan kekuatan dua jentera FRT, satu EMRS dan satu kenderaan pacuan empat roda digunakan dalam operasi tersebut.
“Kesemua penghuni rumah berjaya menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya lagi. – TVS