BELAGA, 10 Jun: Sebanyak 19 pintu rumah pekerja Tanjung Sinar Sdn. Bhd Murum di sini musnah dalam kebakaran hari ini.
Komander Operasi, Lawrance Linggi berkata, pihaknya menerima panggilan behubung kes itu jam 10 pagi dengan menggerakkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga ke lokasi kejadian.
“Pihak bomba bergerak ke lokasi kejadian yang mengambil masa 3 jam melalui jalan ladang.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan 19 buah pintu rumah pekerja telah musnah keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
“Terdapat lima keluarga yang terdiri dari 23 penghuni telah berjaya menyelamatkan diri.
“Pihak bomba melakukan pemadaman menggunakan satu aliran 300 kaki satu nozel air dari sumber air terbuka sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya,” ujarnya.
Punca dan taksiran kerugian yang dialami akibat kebakaran itu masih dalam siasatan.-TVS