SERIAN, 10 Jun: Kelab Rekreasi Imigresen Sarawak (KERIS) telah menganjurkan program ibadah qurban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1446H.
Program yang berlangsung di Depot Imigresen Semuja, Serian ini bertujuan untuk menyemarakkan sambutan Aidiladha 1446H di samping mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak.
Program tersebut dihadiri Pengarah Imigresen Negeri Sarawak, Abdul Halim Abang Naili dan Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Pengurusan), Ibrahim Jack, pegawai-pegawai kanan serta pegawai-pegawai imigresen yang lain.
JIM Sarawak dalam kenyataan berkata, suasana kerjasama dan semangat muhibah jelas terpancar apabila semua pegawai, tanpa mengira pangkat, sama-sama turun padang melaksanakan tugas melapah daging.
“Usaha kolektif ini bukan sahaja mempercepatkan proses, malah turut memupuk nilai-nilai kerjasama dan kebersamaan dalam kalangan warga JIM,” kata kenyataan itu.
Daging qurban yang telah siap dilapah kemudiannya diagihkan kepada pegawai-pegawai JIM Kuching dan juga kepada warga Depot Imigresen Semuja.
Pengagihan ini mencerminkan semangat perkongsian dan kepedulian sesama insan, sekali gus menyemarakkan lagi keberkatan Hari Raya Aidiladha. -TVS