MUKAH, 10 Jun: Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib bersama keluarga telah menyumbangkan sebanyak sembilan ekor lembu untuk melaksanakan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha 1446H di kawasan Parlimen Mukah.
Ibadah korban ini dilaksanakan secara berperingkat selama tiga hari, bermula pada Hari Raya pertama dengan penyembelihan tiga ekor lembu, diikuti dua ekor lembu pada hari kedua, dan empat ekor lembu pada hari ketiga.
Program ini turut dimeriahkan dengan sumbangan tambahan dua ekor lembu daripada 101 Superman Speedmart Mukah, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 11 ekor lembu dikorbankan.
Daging korban kemudiannya telah diagihkan kepada pelbagai kampung dan institusi di sekitar kawasan Parlimen Mukah termasuk Surau Al Qayum, Kampung Tegak, JKKK Kampung Sungai Alo, JKKK Kampung Pulat Balingian, JKKK Kampung Tellian Laut, JKKK Kampung Judan Hilir, JKKK Kampung Teh Dalat, Jabatan Tanah & Survei Mukah serta JKKK Kampung Balan, IPD Dalat dan JKKK Kampung Medong, JKKK Kampung Jebungan, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (Zon Sibu) & Urusetia Saudara Kita.
Program penyembelihan, melapah dan pengagihan daging lembu ini turut mendapat kerjasama erat daripada agensi-agensi kerajaan Bahagian Mukah, penduduk kampung melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), serta Jawatankuasa Pengurusan Masjid di kawasan sekitar Parlimen Mukah.
Inisiatif ini bukan sahaja menyemarakkan sambutan Aidiladha, malah berjaya mengeratkan silaturrahim serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.-TVS