LUNDU, 9 Jun: Seorang warga emas dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Batang Kayan berhampiran Kampung Sileng, Lundu pagi tadi ketika keluar menjala ikan.
Mangsa dikenali sebagai Awang Bosman Awang Jibi yang berusia 74 tahun kali terakhir dilihat turun ke sungai sekitar kawasan Loba Batang Lama menuju ke arah hilir untuk menjala ikan.
Kehilangannya disedari penduduk kampung apabila bot milik mangsa ditemui berpusing dan melanggar tebing sungai dalam keadaan kosong.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, berdasarkan laporan diterima oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu pada jam 11.20 pagi, mangsa disyaki terjatuh ke dalam sungai.
“Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan dengan kekuatan tujuh anggota bomba diketuai oleh PBT I Joseph Diea.
“Pos Kawalan Bomba (PKB) didirikan di Kampung Melayu Metang Terap berdekatan lokasi bot mangsa dijumpai.
“Sebuah bot aluminium milik bomba turut diturunkan ke sungai sekitar jam 1.30 tengah hari bagi membantu pencarian dari arah jeti Pekan Lundu ke lokasi kejadian,” ujarnya.
Beliau berkata, mangsa dikatakan menggunakan baju lengan panjang berkolar merah dan seluar trek biru tua dengan ketinggian lebih kurang 152 cm dan berat anggaran 55 kg.
Operasi SAR turut melibatkan tiga anggota polis, enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan seramai 21 penduduk kampung dengan bantuan 10 bot.
Sehingga berita ini ditulis, mangsa masih belum dijumpai dan operasi SAR akan diteruskan.-TVS