BETONG, 9 Jun: Pendaftaran bagi Kejohanan Perlumbaan Ujian Masa Individu/Basikal Berbukit (ITT MTB) Saribas@Debak 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 19 Julai depan kini dibuka.
Presiden Persatuan Berbasikal Bahagian Betong (BDCA), Saiful Hanizam Suhaini berkata, pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian melalui pautan https://forms.gle/7gMczyL6DjzoRn3s5 atau dengan menghubungi Amirul di talian 011-5355 8112 dan Mardiazi di 013-989 3515.
Menurutnya, kejohanan anjuran bersama BDCA, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas ini akan berlangsung selama sehari di Pusat Sukan Riveria, Debak.
“Terdapat lima kategori yang dipertandingkan iaitu Elit (19 hingga 40 tahun), Veteran (41 tahun ke atas), Belia (bawah 16 tahun), Remaja (17 hingga 18 tahun) dan Wanita.
“Perlumbaan ini juga berperanan sebagai persediaan kepada pelumba menghadapi Perlumbaan MTB Jamboree 2025 yang akan diadakan pada bulan September nanti,” katanya.
Majlis perasmian kejohanan dijangka disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Sarawak yang juga ADUN Saribas, Datuk Mohamad Razi Sitam.-TVS