Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Vaksin Remaja: Seramai 65,252 selesai terima satu dos setakat 15 Sept

KUCHING, 16 Sept: Seramai 65,252 remaja di Sarawak telah selesai menerima satu dos suntikan vaksin COVID-19 setakat 15 September.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, daripada jumlah itu seramai 61,271 adalah remaja yang berusia 16 dan 17 tahun.

Manakala 3,981 lagi merupakan remaja berusia antara 12 dan 15 tahun yang komorbid.

“Kami sudah berada di landasan menjelang pembukaan sekolah pada 3 Okt dan remaja yang berusia 16 hingga 17 tahun akan diberi vaksin sepenuhnya. Mereka akan mengikuti pembelajaran di sekolah dalam keadaan selamat.

“Kerajaan negeri juga ingin berterima kasih kepada ibu bapa yang beri kerjasama baik dengan memberi keizinan untuk anak mereka disuntik,” katanya.

Beliau berkata demikian setelah melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Majma pada Khamis.

Sementara itu, Abang Johari turut memberitahu bahawa keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melonggarkan arahan kuarantin kepada mereka yang telah lengkap dua dos vaksin merupakan antara persediaan Sarawak ke arah fasa endemik.

Bagaimanapun keputusan untuk beralih kepada fasa endemik masih bergantung kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“JPBN Sarawak telah memutuskan kelonggaran kepada mereka yang lengkap dua dos vaksin yang datang ke Sarawak tanpa perlu kuarantin.

“Langkah ini diambil jawatankuasa sebagai persediaan kepada fasa baharu iaitu endemik.

“Namun saya percaya keputusan ini masih lagi bergantung kepada MKN sama ada endemik boleh diisytihar kerana ia perlu melihat secara keseluruhan negara,” ujarnya.

Bagaimanapun bagi individu yang datang dari luar negara, mereka masih perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada.

Dalam pada itu, katanya jumlah kes harian COVID-19 di Sarawak masih dalam lingkungan 3,000 kes adalah berikutan daripada kes-kes tunggakan.

“Sebab itulah angka kita tinggi kerana terdapat banyak saringan dijalankan bulan lepas dan keputusannya hanya dikeluarkan sekarang.

“Kebanyakan kes ini juga adalah dalam kategori tidak bergejala dan gejala ringan. Kadar kemasukan ke hospital kita juga rendah, ini menandakan kita sedang menuju ke arah endemik,” ujarnya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan