KUCHING, 7 Jun: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak menyuarakan kebimbangan serius terhadap langkah PETRONAS yang akan memberhentikan kira-kira 5,000 pekerja susulan penstrukturan semula syarikat itu.
Pengerusinya, Zaidi Nasar berkata, walaupun MTUC memahami keperluan PETRONAS untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dalam industri tenaga global, kesejahteraan pekerja yang terjejas tidak boleh diketepikan.
“Sebahagian besar pekerja yang diberhentikan terdiri daripada pekerja kontrak. Ini menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan pekerjaan dalam industri minyak dan gas serta memberi kesan ekonomi kepada keluarga yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara isu utama yang dibangkitkan MTUC termasuklah ketidakpastian masa depan pekerja, keperluan pampasan dan faedah yang adil, notis pemberhentian yang mencukupi serta keperluan melibatkan kesatuan dalam proses rundingan.
“Pekerja berhak mendapat pampasan sewajarnya mengikut Akta Kerja 1955 atau Perjanjian Bersama, termasuk gaji ganti notis, bayaran baki cuti tahunan dan baki gaji. Rundingan bersama kesatuan juga perlu dilakukan untuk memastikan mereka dilindungi,” ujar Zaidi.
Pada masa yang sama, beliau berkata, MTUC turut menyeru PETRONAS dan kerajaan untuk bertindak segera dengan menyediakan program latihan semula kepada pekerja yang terjejas, terutamanya dalam bidang tenaga hijau, teknologi digital dan keusahawanan.
Bantuan kewangan sementara melalui skim perlindungan sosial seperti PERKESO juga dicadangkan bagi meringankan beban semasa peralihan.
Selain itu PETRONAS digesa bekerjasama dengan syarikat lain bagi menyediakan peluang pekerjaan baharu kepada mereka yang diberhentikan, selain menyediakan sokongan kesihatan mental melalui kaunseling dan program psikologi.
Beliau menegaskan bahawa pemberhentian kerja perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mengambil kira kebajikan pekerja.
“Pekerja adalah aset penting negara. Kami menggesa PETRONAS dan kerajaan agar mengutamakan kesejahteraan mereka serta menyediakan segala bentuk sokongan bagi membantu mereka menghadapi cabaran ini,” tegas Zaidi.
MTUC turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus memperjuangkan hak pekerja dan mencari jalan terbaik dalam menangani isu pemberhentian itu. – TVS