MALUDAM, 7 Jun: Pasukan SLFC dari Kampung Sebangan dinobatkan sebagai johan Kejohanan Bola Sepak Piala Gawai Raya Kampung Maludam 2025 selepas menumpaskan Pasukan R’Ope dari Debak dengan jaringan 3-1 pada perlawanan akhir semalam.
Gol-gol Pasukan SLFC dijaringkan oleh Husaini pada minit ke-22, Farhan Aiman minit ke-70 dan Mohd Alauddin Farir minit ke-72.
Menerusi kejayaan itu melayakkan pasukan SLFC membawa hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 berserta pingat dan piala. Pasukan R’Ope yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua membawa hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 berserta pingat dan piala.
Sementara, pasukan MVSFC dari Kampung Maludam di tempat ketiga dengan hadiah wang tunai sebanyak RM500 juga berserta pingat dan piala.
Dalam ucapannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, kejohanan itu telah berjaya mencapai objektifnya dalam menyemarakkan semangat kesukanan serta memperkukuhkan hubungan antara komuniti setempat.
“Diharapkan kejohanan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan lebih banyak penyertaan dan sokongan,” katanya.
Tambahnya, golongan belia juga harus berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang yang diceburi.
“Kejayaan akan datang sekiranya kita berusaha dengan lebih gigih. Oleh itu, teruskan berusaha dalam apa saja bidang sama ada dalam sukan mahupun bidang yang lain,” ujarnya.
Sebanyak 14 pasukan dari kawasan Lingga dan sekitarnya telah menyertai kejohanan yang berlangsung di Padang Bola Sepak Kampung Maludam, Betong yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat N.28 Lingga dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Batang Lupar dan Jawatankuasa Pembangunan Belia Kawasan Maludam (JPBKM). -TVS