KUALA LUMPUR, 16 Sept: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru seluruh rakyat dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak membulat tekad, memperkukuhkan azam dan membugar semangat perpaduan sebagai satu keluarga yang berjaya dan dihormati sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook rasminya, Ismail Sabri berkata biarpun terpisah dengan Laut China Selatan, penyatuan bersama Sabah dan Sarawak telah membina sebuah negara bangsa yang berjaya dan berdaulat serta Keluarga Malaysia yang tinggal dalam semangat harmoni.
Beliau berkata Malaysia yang terbentuk pada 16 Sept 1963, masih utuh sebagai sebuah negara yang aman, merdeka dan berdaulat di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong sebagai Payung Perpaduan Negara.
“Terbinanya sebuah negara bangsa yang disebut dengan bangga sebagai negara Malaysia, adalah hasil capaian kemerdekaan Tanah Melayu 64 tahun lepas, kemudiannya terbentuk Malaysia enam tahun kemudiannya bersama-sama Sabah dan Sarawak tercinta.
“Hari ini, Keluarga Malaysia ini diwarnai dengan warna-warni yang disatukan, dengan penghormatan dan rasa bangga untuk ibu pertiwi. Kepada Keluarga Malaysia yang amat saya sayangi, Selamat Hari Malaysia!,” katanya sambil menyertakan tanda pagar #KeluargaMalaysia #BekerjaBersamaRakyat.
– BERNAMA