KUCHING, 7 Jun: Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Dato Ibrahim Baki memuji kemurahan hati masyarakat bukan beragama Islam yang turut sama memberikan sumbangan sempena Hari Raya Korban kepada komuniti Islam di Sarawak.
Menurutnya, terdapat masyarakat berbangsa Cina dan bangsa yang lain turut menderma sempena Hari Raya Korban di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok memandangkan kawasan itu dihuni masyarakat pelbagai kaum dan agama.
“Biasanya apabila anda menderma kami memberikan sebahagian daripadanya kembali tetapi mereka berkata tidak anda agihkanlah kepada yang memerlukan jadi itulah budaya kita di Sarawak yang tidak dapat ditandingi di tempat yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Ibadah Korban anjuran Pertubuhan Kebajikan Pekerja Islam Sarawak Energy di Masjid Darul Aqsa Kampung Segedup di sini, hari ini.
Sarawak Energy Berhad (SEB) menyumbang tiga ekor lembu untuk diagihkan kepada 150 penduduk yang layak di dua buah kampung iaitu Kampung Segedup dan Kampung Sungai Maong sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok itu berkata, terdapat juga masyarakat di sesebuah kawasan yang mengamalkan amalam sedekah untuk diagihkan kepada golongan memerlukan seperti lembu atau kambing yang cukup baik untuk diterjemahkan dalam kehidupan harian.
“Semua agama mengajar umatnya berbuat baik, jadi ini adalah salah satu contoh baik di mana agama adalah tonggak kepada kebaikan, di Sarawak amalan ini mengukuhkan lagi hubungan baik masyarakat pelbagai kaum dan agama,” ujarnya.
Sementara itu, Penghulu Kampung Segedup, Razanah Mokhtar merasa bertuah kerana kampung itu antara yang dipilih untuk menjadi lokasi penganjuran aktiviti korban tahun ini.
Jelasnya, melalui program ini kebajikan dan keperluan masyarakat Islam di kampung itu khususnya mereka daripada golongan asnaf lebih terjaga dengan menerima sumbangan bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha ini.
“Saya amat berbesar hati dan berbangga kerana hari ini di kalangan penduduk Kampung Segedup ini mendapatkan sumbangan bersempena dengan sambutan Hari Raya Korban yang diadakan pada setiap tahun,” katanya. -TVS