SANDAKAN, 6 Jun: Dua lelaki tempatan ditahan selepas disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Merpati, Batu 7, di sini.
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah antara jam 11 malam, 4 Jun hingga 6.30 petang, 5 Jun lalu, semasa pelaksanaan Ops Harian Narkotik.
“Kedua-dua suspek ditahan di lokasi dan dibawa ke IPD Sandakan untuk menjalani ujian saringan air kencing. Hasil ujian mendapati mereka positif dadah jenis syabu,” menurut kenyataan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap IPD Sandakan untuk tindakan lanjut.
“Pelaksanaan operasi ini adalah sebahagian daripada komitmen pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy Kuppan dalam usaha membanteras kegiatan jenayah narkotik di daerah ini,” kata kenyataan itu lagi.



