MINA, 6 Jun: Di tengah-tengah jutaan jemaah di Mina, kelibat Habibullah, seorang lelaki warga Pakistan berusia 63 tahun, cukup menyerlah. Bagi beliau, haji tahun ini bukan sekadar ibadah, tetapi kemuncak kepada kesabaran dan keimanan yang tidak pernah luntur sepanjang hayatnya.
Dilahirkan dengan penglihatan sempurna, Habibullah hilang daya melihat ketika berusia 18 tahun. Sejak itu, beliau menumpukan hidupnya kepada pengajaran fiqh di Pakistan dan berjaya menghafaz keseluruhan al-Quran melalui tulisan Braille.
Bercakap kepada Agensi Berita Saudi (SPA), beliau dengan linangan air mata menceritakan impiannya untuk menunaikan haji yang dipendam sejak sekian lama, sambil tidak pernah putus berdoa agar dapat menjejakkan kaki ke Masjidil Haram.
“Musim haji ini, impian saya menjadi kenyataan,” katanya. “Benar saya tidak dapat melihat Kaabah, tetapi saya merasainya dalam hati, seolah-olah ia berada dalam diri saya. Ilmu dan pendidikan itu cahaya; kegelapan sebenar ialah ketiadaan ilmu, bukan ketiadaan penglihatan.”
Habibullah dikenali dengan keteguhan hati dan keimanan yang mendalam. “Saya pernah menjadi anak kecil yang buta,” katanya mengimbas kembali, “namun hari ini saya lelaki yang berjaya hasil ilmu, iman dan pilihan Allah yang membawa saya ke sini.”
Dengan senyuman penuh kesyukuran, beliau menambah, “Saya ialah anak kecil yang buta beberapa dekad lalu, dan hari ini saya telah mencapai kejayaan besar. Saya gembira dan bersyukur kepada Allah.” Kisah beliau mencerminkan keimanan teguh dan ketabahan luar biasa dalam memenuhi impian haji yang dipendam selama hampir empat setengah dekad.-TVS



