BUTTERWORTH, 5 Jun: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyita bunga ganja seberat 16.2 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM1.6 juta yang cuba dibawa masuk ke negara ini dengan sebuah bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas pada 4 Mac lalu.
Pengarah Kastam Pulau Pinang, Rohaizad Ali berkata, bagasi berkenaan ditemui oleh pegawai operasi Pejabat Kastam Cawangan Pemeriksaan Penumpang (CCP) lapangan terbang itu pada kira-kira pukul 11.35 pagi.
Katanya, siasatan mendapati, bagasi tiada pengenalan itu didapati dibawa dengan penerbangan dari China.
“Sebanyak 29 bungkus lutsinar mengandungi tumbuhan kering disyaki dadah jenis bunga ganja ditemui di dalam bagasi,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Kastam Pulau Pinang di Bagan Jermal di Butterworth hari ini.
Dalam perkembangan lain, Rohaizad berkata, pihaknya menerusi Unit Narkotik berjaya merampas empat bungkusan kurier mengandungi tumbuhan kering disyaki bunga ganja menerusi pemeriksaan di Pusat Mel Kurier, Pos Malaysia Berhad pada 16 April lalu.
Katanya, pada operasi kira-kira pukul 1 petang itu yang membabitkan anjing pengesan dadah (APD), kastam menemui dadah berkenaan seberat kira-kira 2.2 kg yang bernilai RM219,128.
“Semakan mendapati bungkusan kurier berkenaan diikrar mengandungi sembilan unit buku komik yang dieksport ke luar negara dengan status bungkusan dikembalikan,” katanya lagi.
Katanya, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 38 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS