BETONG, 5 Jun: Beberapa jalan utama di kawasan pasar lama dan sekitar bandar Betong akan ditutup selama dua hari, bermula 6 hingga 7 Jun ini.
Ketua Polis Daerah Betong, DSP Zamry Alli berkata penutupan jalan tersebut bertujuan untuk memastikan kelancaran Program Perarakan Gawai Dayak peringkat Bahagian Betong 2025 yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini.
“Pihak PDRM IPD Betong, khususnya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik akan melaksanakan penutupan jalan sepenuhnya, terutamanya di kawasan Pasar Lama Betong serta beberapa jalan utama di bandar ini.
“Langkah ini diambil bagi memastikan sesi raptai dan perarakan pada hari sebenar dapat dijalankan dengan lancar,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut beliau, antara jalan yang terlibat termasuklah laluan di hadapan Rumah Rehat Betong, Jalan Pengarah Isek dan persimpangan lampu isyarat di Simpang Empat.
“Pengguna jalan raya disarankan menggunakan laluan alternatif seperti Jalan Bebangai, Jalan Spine, Jalan Tanjong Assam, Jalan Sie Kwang Ngak dan Jalan Kampung Hilir Betong.
“Penutupan jalan ini juga bertujuan untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya serta memastikan aliran trafik dapat dikawal dan diselaraskan dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Pihak polis turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan lalu lintas dan mengikuti arahan daripada anggota penguat kuasa yang bertugas sepanjang tempoh program berlangsung.
Orang ramai juga disarankan merancang perjalanan dengan bijak bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di kawasan yang telah ditetapkan, sekali gus mengelakkan sebarang kesulitan. – TVS