KOTA KINABALU, 4 Jun: Seramai 15 ejen pelancongan utama dari Perancis telah menamatkan lawatan tiga hari mereka ke Sabah hari ini dengan penuh kekaguman terhadap keunikan budaya, alam semula jadi dan tarikan pengembaraan negeri ini.
Sepanjang berada di Kota Kinabalu, delegasi tersebut menyertai aktiviti seperti meredah hutan di Pulau Gaya, menyaksikan persembahan kebudayaan, serta melawat Kampung Budaya Mari Mari.
“Sabah berada di landasan yang tepat,” kata Andreas Gantenbein, Pengarah Urusan AERTiCKET bagi Belgium, Perancis dan Switzerland.
“Kami sangat menghargai layanan mesra serta usaha memperkenalkan budaya tempatan kepada kami,” tambahnya.
Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini yang turut mengiringi delegasi, menyifatkan sambutan positif ini sebagai petanda kukuh bahawa Sabah berpotensi besar untuk menarik lebih ramai pelancong Eropah.
“Sabah mempunyai semua elemen yang dicari pelancong iaitu budaya, alam dan keselamatan. Kedutaan akan terus menyokong promosi negeri ini,” katanya.
Semalam, delegasi diraikan dalam pelayaran matahari terbenam dan makan malam anjuran Lembaga Pelancongan Sabah di Gaya Island Resort, turut dihadiri Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai.
“Kita menerima 2,116 pelawat dari Perancis dari Januari hingga April tahun ini, berbanding 1,669 bagi tempoh yang sama tahun lalu,” kata Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah.
“Keselamatan kekal menjadi keutamaan kita, khususnya di kawasan pantai timur. Kehadiran keselamatan bukan bermakna ia tidak selamat, sebaliknya untuk memastikan ia terus selamat,” tegas beliau.
Sebagai penaung Sail Malaysia Borneo, Joniston turut mempelawa ejen pelancongan Perancis meneroka potensi pelancongan laut di Sabah.
Rali pelayaran antarabangsa itu dijangka membawa lebih 30 kapal layar dari 15 negara ke Sabah antara Julai hingga awal September ini.
“Sail Malaysia adalah cara unik untuk meneroka Sabah dari laut, dan peserta akan menikmati keindahan pantai serta kawasan pedalaman,” katanya. -TVS