PUTRAJAYA, 4 Jun: Kementerian Pengangkutan akan melaksanakan Sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) sepenuhnya di pintu masuk darat Malaysia – Singapura bermula 1 Julai depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, saman akan dikenakan kepada pemilik kenderaan asing yang tidak mendaftar atau mengaktifkan VEP bagi menggunakan tag Pengenalan Frekuensi Radio (RFID).
Jelas beliau, tindakan penguatkuasaan akan dikendalikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) termasuk saman kepada kenderaan persendirian individu dan kenderaan persendirian syarikat yang gagal mematuhi perkara itu.
“(Bagi pemilim) kenderaan persendirian individu, (mereka) wajib membayar saman serta perlu mendaftar VEP kepada JPJ sebelum dibenar keluar dari Malaysia.
“(Sekiranya) sudah membuat pra pendaftaran VEP namun tidak diaktifkan, tindakan saman dan wajib bayar akan dikenakan sebelum keluar dari Malaysia,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Sementara itu tambah Anthony, bagi kenderaan persendirian syarikat pula, sekiranya tiada VEP sah, tindakan saman, bayar dan daftar VEP serta merta juga akan dilaksanakan sebelum dibenarkan keluar dari Malaysia.
Tambah beliau, statistik pemasangan tag RFID yang melibatkan kenderaan persendirian individu dan syarikat berjumlah 231,018.
“Daripada jumlah tersebut, 194,507 tag RFID untuk kenderaan persendirian individu telah diaktifkan dan dipasang manakala 2,660 tag RFID lagi adalah kenderaan persendirian syarikat.
“Selebihnya, iaitu 36,511 adalah kenderaan persendirian individu yang belum memasang dan mengaktifkan lagi tag RFID mereka,” ujarnya.
Jelas beliau, penguatkuasaan VEP selaras dengan Seksyen 66H (7), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333). – TVS