JAKARTA, 4 Jun: Kerajaan Indonesia telah mengadakan satu mesyuarat khas kabinet bersama Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin, di Istana Merdeka semalam bagi membincangkan perkembangan terkini situasi COVID-19 di negara itu.
Mesyuarat tersebut diadakan sebagai langkah kesiapsiagaan kerajaan dalam menghadapi kemungkinan lonjakan kes dalam masa terdekat, susulan peningkatan jangkitan yang turut berlaku di beberapa negara Asia Tenggara lain seperti Thailand, Singapura dan Hong Kong.
Menurut Budi, dalam mesyuarat itu, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, telah mengarahkan Kementerian Kesihatan menyediakan tindak balas segera serta merancang langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang perlu dilaksanakan susulan peningkatan mendadak kes jangkitan.
“Meskipun ada peningkatan tetapi ini adalah varian yang tidak terlalu berbahaya dan tidak perlu terlalu dibimbangkan agar orang ramai tidak panik dan kita tidak boleh leka walaupun keadaan semasa kelihatan masih terkawal,” kata Budi.
Beliau turut memaklumkan kepada Presiden bahawa pihaknya telah mengarahkan pengukuhan sistem pemantauan dan pengesanan, serta memastikan semua fasiliti kesihatan berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya.
Untuk rekod, sepanjang minggu ke-22 tahun 2025 (25 hingga 31 Mei), Indonesia mencatatkan sebanyak tujuh kes baharu COVID-19, dan kesemua pesakit telah pulih sepenuhnya.
Walaupun jumlah kes kekal rendah, kerajaan tetap meningkatkan tahap kewaspadaan dengan memperkukuh sistem pemantauan dan kesiapsiagaan, selain terus memantau perkembangan kes COVID-19 di peringkat antarabangsa. -TVS