Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sidang Kemuncak Snowflake 2025 yang diadakan di Pusat Moscone di San Francisco hari ini. Foto AFP

Penggunaan AI oleh perusahaan di Asia Pasifik semakin meluas – CEO Snowflake

ByBernama

SAN FRANCISCO, 3 Jun: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) oleh perusahaan di Asia Pasifik termasuk ASEAN kini semakin meluas dan mula mendapat sambutan.

Ketua Pegawai Eksekutif Snowflake Sridhar Ramaswamy berkata perkara ini seiring dengan aspirasi perusahaan untuk menjadi lebih cekap dengan mengambil kira kemajuan teknologi yang dapat membantu dengan sistem operasi yang lebih baik.

“Ya, saya rasa penggunaan AI sememangnya semakin meluas kerana setiap syarikat mahu menjadi lebih cekap.

“Bagi pelaburan di rantau Asia Pasifik dan Jepun, kami mempunyai kehadiran yang kukuh di negara seperti Jepun, Australia dan India selain kami juga sememangnya sedang meningkatkan pelaburan di kawasan seperti Indonesia, Malaysia dan Vietnam.

“Kami mempunyai pejabat di Singapura dengan pasukan yang hebat dan berhasrat untuk menjalankan lebih banyak perniagaan di sana (ASEAN),” katanya kepada pemberita di luar acara Sidang Kemuncak Snowflake 2025 yang diadakan di Pusat Moscone di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Boston Consulting Group, walaupun Amerika Utara merupakan peneraju dunia dalam penerapan teknologi, rantau Asia Pasifik (APAC) semakin mengecilkan jurang tersebut terutamanya dalam aspek kecerdasan buatan generatif (GenAI).

Kajian firma pengurusan itu menunjukkan di seluruh rantau ini, nilai persepsi teknologi generatif lebih tinggi berbanding di Eropah dan hanya kurang satu mata peratusan berbanding Amerika Utara.

Di rantau Amerika Utara dan APAC, sebanyak 16 peratus organisasi menemukan nilai yang terbukti melalui AI, namun rantau APAC sedang melabur dengan lebih besar secara keseluruhan.

Ini juga dilihat tepat pada masanya berikutan ASEAN sedang mengguna pakai AI yang berpotensi meningkatkan ekonomi di wilayah itu iaitu sebanyak 10 hingga 18 peratus atau hampir US$1 trilion menjelang 2030 (US$1 = RM4.21).

Sehubungan itu, Snowflake iaitu syarikat data awan global yang berpangkalan di Singapura turut menyertai syarikat antarabangsa lain yang menunjukkan minat terhadap rantau ini.

Pada Isnin, Snowflake yang mempunyai nilai bersih sebanyak US$70.12 bilion setakat 2 Jun 2025, mengumumkan hasratnya untuk mengambil alih Crunchy Data, sebuah syarikat pemula niaga yang menawarkan perisian pangkalan data berasaskan awan.

Selain itu, syarikat itu juga mengumumkan inovasi AI berperanan sebagai ejen baharunya iaitu Snowflake Intelligence yang menawarkan pengalaman perbualan sehenti kepada pengguna perniagaan dan profesional data.

Snowflake Intelligence dikuasakan oleh ejen data pintar untuk mengajukan soalan dalam bahasa semula jadi dan segera mendedahkan cerapan yang boleh diambil tindakan daripada jadual berstruktur dan dokumen tidak berstruktur.

Seperti “ChatGPT”, Snowflake Intelligence bagaimanapun menawarkan penyelesaian yang lebih disesuaikan mengikut keperluan pelanggan, menjadikan aliran kerja AI dan pembelajaran melalui mesin (ML) mudah dihubungkan selain dipercayai oleh pengguna teknikal serta bukan teknikal.

Syarikat itu juga memperkenalkan Ejen Sains Data, sebuah ejen berfungsi sebagai pembantu yang meningkatkan produktiviti saintis data dengan mengautomasikan tugas-tugas rutin pembangunan model ML.

Ia juga membolehkan pengguna mempermudah aliran kerja AI dan ML masing-masing selain mendemokrasikan akses kepada data merentas perniagaan masing-masing.

Selain itu, ia juga menghapuskan beban teknikal yang melambatkan proses membuat keputusan perniagaan selain semuanya melalui interaksi bahasa semula jadi dalam Snowflake Intelligence. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan