KOTA BELUD, 3 Jun: Jumlah projek pembangunan Kerajaan Persekutuan di Sabah yang masih berada pada peringkat prapelaksanaan berkurang kepada 137, berbanding 207 sebelum ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, semua projek yang dibiayai Kerajaan Persekutuan perlu dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan bagi mengelak kelewatan.
“Jawatankuasa intervensi ditubuhkan bagi memastikan projek yang masih di peringkat awal ini dapat dimulakan segera tanpa gangguan,” katanya ketika merasmikan Dewan Terbuka Kampung Podos sempena Pesta Kaamatan, di sini hari ini.
Ewon berkata, mesyuarat intervensi yang digerakkan sejak awal tahun banyak membantu mempercepatkan penyelesaian isu teknikal dan pentadbiran melalui libat urus terus bersama agensi pelaksana serta Kerajaan Negeri.
Beliau memaklumkan, beliau dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya turut memantau secara bersama dan mencadangkan penyelesaian terhadap kelewatan yang timbul.
“Selepas projek diserahkan kepada agensi dan kontraktor pelaksana, pemantauan akan diteruskan menerusi platform lain seperti Mesyuarat Tindakan Pembangunan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada kementerian, jabatan teknikal dan Kerajaan Negeri atas kerjasama mempercepat proses perolehan, pelantikan kontraktor dan tender.
“Saya berpuas hati dengan komitmen semua pihak dan berharap lebih banyak projek dapat dimulakan menjelang mesyuarat akan datang,” katanya.