JOHOR BAHRU, 3 Jun: Kelab bola sepak dari Brunei, Duli Pengiran Muda Mahkota (DPMM) FC yang membuat kemunculan semula dalam Liga Malaysia Musim 2025/2026 menyasarkan untuk menduduki kelompok enam terbaik.
Pengurus Besar DPMM FC, Md Ali Momin berkata, sasaran berkenaan tampak realistik dan mereka sedang memperkasakan pasukan menjelang saingan yang bermula Ogos depan.
“Untuk menyaingi kehebatan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC, insya-Allah kami akan cuba memberi saingan tetapi tidak dinafikan musim pertama mungkin kami akan sedikit bergelut.
“Bagi kuota pemain import, kami merancang untuk menandatangani tujuh pemain import dan lebih menarik apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membenarkan kami mendapatkan khidmat pemain dari Malaysia dan ia berstatus pemain tempatan.
“Ini memberi ruang buat kami mengenal pasti pemain kelab di Malaysia untuk mengisi kekosongan. Setakat ini kami sudah menandatangani Fairuz Zakaria (bekas pemain Penang FC) dan sedang berbincang dengan Terengganu FC bagi mendapatkan khidmat Akhyar Rashid,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penyertaan DPMM FC ke Liga Super musim 2026-2028.
Md Ali memaklumkan pasukan itu yang kali terakhir beraksi dalam Liga Malaysia 17 tahun lepas juga sedang berusaha mendapatkan penjaring terbanyak Liga Singapura, Tomoyuki Doi dari Geylang International FC.
“(Bagaimanapun) saya tidak boleh memberi pengesahan kerana perbincangan masih dalam proses dan ketika ini pemain import dari Latvia, Davis Ikaunieks dan pemain Indonesia, Ramadhan Sananta sudah tandatangani kontrak,” katanya.
Mengulas lebih lanjut mengenai penyertaan mereka, Md Ali enggan mendedahkan kos perbelanjaan, sebaliknya mengesahkan semuanya berpandu kepada Financial Fair Play (FFP) yang diperkenalkan MLF.
Tambah beliau, penyokong bola sepak di Brunei juga lebih berminat untuk menyaksikan pasukan itu bersaing dalam Liga Malaysia berbanding Liga Singapura. -TVS.