SERIAN, 3 Jun: Dua lelaki cedera selepas pikap dinaiki kemalangan kendiri di Simpang Kampung Tarat Jalan Kuching – Serian pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 8.57 pagi dengan menggerakkan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati berlaku kemalangan kendiri melibatkan sebuah pikap.
“Tiada mangsa tersepit, hanya bantuan mengangkat seorang mangsa keluar dari kenderaan, manakala seorang lagi mangsa berjaya keluar sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kedua-dua mangsa lelaki dihantar ke hospital serian menggunakan jentera EMRS BBP Serian untuk rawatan lanjut.
“Seorang mangsa telah mengalami cedera di bahagian kepala manakala seorang lagi hanya cedera ringan.
“Mangsa telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan susulan,” ujarnya.-TVS