SIMUNJAN, 2 Jun: Seorang lelaki maut selepas kereta dinaikinya terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam 30 meter di Kampung Batu Kepit, Bukit Punda, petang semalam.
Komander Operasi, Adam Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.49 petang sebelum menggerakkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati sebuah kereta jenis Perodua Kenari telah terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 30 meter dari paras jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penumpang kereta berkenaan, Richman Nyawan, 53, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sementara itu, pemandu kenderaan yang juga berusia 53 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa dinaikkan menggunakan stretcher sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan selepas memastikan kawasan kejadian dalam keadaan selamat,” katanya.-TVS