KUCHING: Masyarakat yang mengunjungi Jambatan Gantung Satok diminta untuk menjaga kebersihan sekitar jambatan baharu itu, selain tidak melakukan kegiatan vandalisme.
Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ini bagi memastikan hasrat kerajaan Sarawak untuk menjadikan negeri ini sebagai destinasi popular pada masa akan datang mampu untuk dicapai.
“Kita nak pastikan tidak ada berlaku kejadian vandalisme pada jambatan tersebut , kerana kos pembinaan jambatan itu sangat tinggi dan ditanggung oleh kerajaan negeri sendiri, jadi marilah sama-sama kita menjaga supaya tidak berlaku kegiatan vandalisme.
“Jadi saya menyuarakan bagi pihak DBKU untuk bersama-sama kita menjaga keindahan jambatan ikonik di sungai Sarawak iaitu Jambatan Gantung Satok.” katanya ketika ditemui selepas merasmikan gelanggang futsal di kampung pasir panjang pada Rabu.
Menurut Abdul Rahman ketika ini jambatan ikonik tersebut masih di bawah pentadbiran Jabatan Kerja Raya (JKR) dan akan diserahkan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) pada awal tahun 2022.