KUCHING, 1 Jun: Skuad Prihatin Pantai Damai (meneruskan usaha murni mereka melalui pelaksanaan Program Ziarah Prihatin Pantai Damai dengan menziarahi beberapa pesakit kronik dan pesakit terlantar yang memerlukan perhatian serta sokongan moral.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi turut menyertai ziarah tersebut yang berlangsung Sabtu.
Dalam program tersebut, rombongan berkenaan menyantuni pesakit yang menetap di beberapa kampung dalam kawasan Pantai Damai merangkumi Kampung Demak Baru Fasa 2, Darul Hana, Kampung Bintawa Hilir, Kampung Bintawa Ulu dan Kampung Gersik.
Selain kunjungan mesra, sumbangan turut disampaikan kepada pesakit sebagai tanda prihatin terhadap keadaan kesihatan dan keperluan mereka.
Lawatan tersebut bukan sahaja memberi dorongan emosi kepada pesakit dan keluarga malah memperkukuh hubungan masyarakat setempat dengan barisan kepimpinan komuniti.
Dr. Abdul Rahman turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Penghulu dan Ketua Kampung yang membantu dalam pelaksanaan program tersebut.
“Kehadiran dan sokongan mereka amat dihargai dalam memastikan kelancaran setiap ziarah yang dijalankan.
“Semoga usaha ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban pesakit dan saya mendoakan agar mereka semua dikurniakan kesembuhan serta dipermudahkan urusan rawatan,” katanya.-TVS