KEMAMAN, 1 Jun: Seorang pengusaha kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas pertuduhan mendera anak perempuan sepupu lelakinya di Binjai di sini.
Tertuduh yang merupakan seorang wanita berusia 52 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengabaikan remaja perempuan berusia 15 tahun tiga bulan yang dipeliharanya sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 5.30 petang di sebuah kedai makan di Binjai antara bulan Mac hingga 22 Mei lepas mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang membawa hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Asyikin Hashim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Difahamkan perbuatan mendera itu terbongkar apabila mangsa mengadu tidak tahan sering dipukul kepada salah seorang kakaknya.
Remaja perempuan itu juga mendakwa kali terakhir dia dipukul dengan paip getah kerana tidak mengikut arahan tertuduh pada pukul 5.30 petang, 22 Mei lalu.
Kakak mangsa yang menetap di Kuantan, Pahang kemudiannya membuat laporan polis berhubung kes menimpa adiknya. -TVS.