KUCHING, 1 Jun: Perayaan Hari Gawai Dayak wajar dijadikan simbol perpaduan rakyat pelbagai kaum di Sarawak sama seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, Gawai bukan hanya milik satu kaum sebaliknya turut diraikan bersama oleh semua lapisan masyarakat setiap tahun.
Menurutnya, semangat kebersamaan tersebut merupakan asas penting dalam mendidik generasi muda agar terus memelihara perpaduan yang telah dipupuk sejak Sarawak menyertai Malaysia.
“Saya dengan bangganya mengucapkan Selamat Hari Gawai kepada semua yang meraikannya. Sambutan ini seperti perayaan besar lain, mencerminkan kehendak rakyat Sarawak untuk terus memperkukuh hubungan antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, semangat toleransi dan keharmonian yang diamalkan masyarakat pelbagai kaum di wilayah ini seharusnya diperluaskan kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Rakyat Sarawak telah menunjukkan contoh kehidupan berbilang kaum yang aman dan harmoni seterusnya menyumbang kepada kemakmuran wilayah ini.
“Kini, kita boleh berbangga kerana Sarawak berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri lain di Malaysia dalam pelbagai aspek pembangunan,” ujarnya.-TVS