KUCHING, 1 Jun: Sarawak International Youth Football Championship 2025 (SIYFC25) membuka tirainya dengan penyertaan 43 pasukan dari Malaysia, Indonesia dan beberapa negara luar.
Sebanyak empat kategori dipertandingkan merangkumi bawah 12 tahun (U12), bawah 10 tahun (U10), bawah lapan tahun (U8) dan perempuan bawah 12 tahun (u12 Girls).
Walaupun beberapa pasukan dari India, Thailand, Singapura dan Filipina terpaksa menarik diri akibat krisis geopolitik dan ancaman kesihatan global, kejohanan tetap berlangsung meriah dengan persembahan berkualiti dan semangat kesukanan inggi.
Pelbagai acara sokongan turut diadakan di Dataran Perayaan bersebelahan Stadium Sarawak termasuk Fiesta Ooh Haa Bola, Pertandingan Freestyle Sarawak dan Sarawak International Grassroots Football Summit 2025 yang menarik ribuan pengunjung menerusi gabungan aktiviti kebudayaan, hiburan serta inovasi bola sepak.
Menurut Ketua Pegawai Operasi SIYFC25, Azmi Abd Halim, gabungan elemen sukan, budaya dan hiburan berjaya menaikkan nilai keseluruhan kejohanan serta mengukuhkan kedudukan Kuching sebagai destinasi pelancongan sukan serantau.
“SIYFC bukan sekadar kejohanan, ia satu platform pembangunan akar umbi dan industri bola sepak belia yang berkembang pesat,” katanya.
Ketua Eksekutif SIYFC, Nazree Nassir pula menyatakan keyakinan bahawa kejohanan tersebut akan menjadi acara tahunan yang lebih besar dan menarik pada masa akan datang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Sarawak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta Kerajaan Sarawak atas sokongan padu khususnya Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Dengan tema “Kicking Off Dreams, Creating Champions”, SIYFC25 mengangkat bola sepak belia ke tahap baharu sebagai landasan mencungkil bakat dan membentuk juara masa depan.-TVS