PETALING JAYA, 1 Jun: Barisan pemain kebangsaan menyapu bersih tiga tempat teratas kategori campuran Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 di Sunway Megalanes, Bandar Sunway di sini hari ini.
Bekas juara Sonic International Classic Singapura, Izz Naqiuddin Putera Islahuddin muncul juara dengan mengenepikan saingan sengit rakan senegara, Azriq Izam dengan kelebihan 42 pin.
Pemain kidal dari Negeri Sembilan itu mempamerkan balingan konsisten sejak dua permainan pertama apabila menjatuhkan 279 dan 290 pin dan meneruskan aksi kemas dengan deretan 255, 252, 257, 227, 211 dan 222 pin untuk jumlah keselurahan 1,993 pin.
Azriq menamatkan saingan di tempat kedua manakala wakil Sunway Megalanes, Ahmad Aidil di tempat ketiga.
Izz Naqiuddin berkata, ketika turun beraksi pagi tadi, dia tidak meletakkan sasaran juara sebaliknya hanya mahu mempamerkan permainan terbaiknya untuk berada pada kedudukan podium.
“Saingan tadi sebenarnya agak sengit dengan rakan sepasukan (Azriq) kerana selepas game ketujuh, saya hanya mendahului lebih 40 pin dan pada permainan terakhir, skor kami tidak banyak berbeza apabila saya lakukan 222 pin berbanding 223 dilakukannya,” katanya ditemui selepas perlawanan.
Selaku juara Izz Naqiuddin yang meraih pingat perak pada Kejohanan Boling Asia di Thailand tahun lepas membawa pulang hadiah kemenangan RM30,000 beserta trofi manakala Azriq terpaksa berpuas hati dengan RM15,000.
Sementara itu pemain Malaysia, turut menguasai kategori wanita pada pertandingan itu yang menggunakan format campuran kategori lelaki dan wanita.
Nur Syazwani Sahar yang menamatkan saingan pada kedudukan ke-10 muncul pemain terbaik wanita malah dia menarik perhatian pabila melakukan permainan sempurna 300 pin pada permainan pertama.
Selaku pemain terbaik wanita, Nur Syazwani yang baharu pulang beraksi di Kejohanan USBC Queens 2025 di Amerika Syarikat membawa pulang hadiah RM7,000.
Seorang lagi pemain kebangsaan, Faten Najihah Ahmad Faiz pula muncul pemain kedua terbaik wanita manakala wakil Sarawak, Lavinia Kho Jia Jie di tempat ketiga.
Kejohanan kali ini disertai lebih 400 pemain tempatan dan antarabangsa termasuk dari Thailand, Indonesia, Australia, Brunei, Filipina, Jepun dan Singapura.
Selepas ini barisan pemain negara dijadual menyertai Kejohanan Terbuka Antarabangsa Singapura 2025 sebelum bersaing pada Kejohanan Boling IBF Dunia di Hong Kong dan Sukan SEA di Thailand. -TVS.