KUCHING, 1 Jun: Suasana penuh warna-warni dan semangat perpaduan jelas terpancar pada sambutan Hari Gawai Dayak 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Acara yang padat dengan elemen kebudayaan itu menarik kehadiran ribuan pengunjung dari pelbagai latar belakang termasuk penduduk tempatan dan pelancong luar negara.
Krishna Rao @ Prabhu, 55, menyifatkan kehadiran masyarakat pelbagai kaum sebagai cerminan keharmonian dan semangat kekeluargaan di Sarawak.
“Kita meraikan Gawai dalam suasana ceria dan penuh warna-warni. Ia benar-benar mencerminkan perpaduan dan kepelbagaian dalam kalangan rakyat khususnya di Sarawak. Kita sangat bertuah dapat menyambutnya bersama dalam suasana harmoni,” katanya kepada TVS.
Sementara itu, Damian Lim Hock Chen, 21, berkata, rumah terbuka seperti ini bukan sahaja merapatkan hubungan kekeluargaan malah menjadi platform penyatuan masyarakat pelbagai kaum dan agama.
“Saya lihat semua kaum turut serta dalam sambutan Gawai ini. Saya harap budaya seperti ini terus dikekalkan dan menjadi contoh kepada masyarakat lain,” ujarnya.
Sambutan Hari Gawai kali ini turut menarik minat pelancong antarabangsa termasuk Sivakami dari Washington D.C., Amerika Syarikat yang teruja dengan keunikan budaya Sarawak.
“Dua bulan lalu saya hadir ke sambutan Hari Raya di sini dan salah seorang staf berkongsi tentang Gawai. Saya cari maklumat di Facebook dan terus rancang untuk hadir.
“Rumah Terbuka Gawai ini sangat mengagumkan. Makanannya enak dan pengalamannya benar-benar membuka mata saya terhadap budaya Dayak,” katanya.-TVS