Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dataran 3 Two Square di sini bertukar menjadi lautan merah selepas dibanjiri lebih 600 penyokong Liverpool yang berhimpun bagi meraikan kejayaan skuad The Reds menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini. Foto Bernama

Kl Kopites anjur sambutan rai kejayaan Liverpool julang trofi Liga Perdana Inggeris

ByBernama

PETALING JAYA, 31 Mei: Dataran 3 Two Square di sini bertukar menjadi lautan merah selepas dibanjiri lebih 600 penyokong Liverpool yang berhimpun bagi meraikan kejayaan skuad The Reds menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Acara anjuran kelab penyokong rasmi Liverpool, KL Kopites itu turut menampilkan bas dua tingkat yang dihiasi dengan gambar pemain bintang kelab itu, seakan bas sebenar yang digunakan dalam perarakan kejuaraan di bandar Liverpool 26 Mei lepas.

Presiden KL Kopites Sashidaran Nair berkata ini adalah kali pertama KL Kopites menganjurkan sambutan terbuka termasuk menggunakan bas sebenar.

“Idea ini bermula pada 2020 apabila Liverpool menjuarai liga. Kami sudah pun menempah bas ketika itu, tetapi disebabkan pandemik, ia terpaksa ditangguhkan.

“Tahun ini kami anjurkannya, bukan sekadar meraikan malah memberi pengalaman sebenar kepada penyokong. Semua boleh menaiki bas dan memegang ‘trofi’ serta mengambil gambar,” katanya kepada Bernama semasa acara berkenaan hari ini.

Skuad bimbingan Arne Slot mengesahkan kejuaraan EPL musim 2024/2025 selepas membelasah Tottenham Hotspur 5-1 di Anfield ketika saingan liga masih berbaki empat perlawanan.

Ini merupakan trofi EPL kedua Liverpool selepas menjuarainya pada musim 2019/2020 di bawah kendalian Jurgen Klopp.

Sashidaran berkata KL Kopites juga menawarkan lebih 40 hadiah cabutan bertuah sempena sambutan ini termasuk tiket perlawanan ke Anfield dan jersi Liverpool yang ditandatangani bekas pemain kelab itu Harry Kewell dan Lucas Leiva.

Sementara itu, Jordan Chan, 47, yang menyokong The Reds sejak 1990-an berkata beliau teruja menyaksikan sambutan kejuaraan hari ini.

“Sebagai seorang yang telah lama menyokong Liverpool, sambutan sebegini benar-benar memberi saya satu pengalaman baharu yang luar biasa,” katanya.

Megat Amir Irham Ahmad Mahidin, 25, berkata beliau teruja akhirnya dapat meraikan bersama penyokong Liverpool selepas tidak berpeluang berbuat demikian pada 2020 akibat pandemik COVID-19.

“Dulu kita tidak dapat raikan kerana pandemik. Jadi kali ini, saya meraikan sepuas-puasnya bersama penyokong Liverpool yang hadir hari ini,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan