KUCHING, 31 Mei: Sambutan Gawai Dayak bukan sahaja menjadi detik bersejarah dalam meraikan warisan budaya masyarakat Dayak, malah turut menjadi peluang penting kepada anak-anak Sarawak yang pulang dari perantauan untuk menilai kemajuan pembangunan negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, menyatakan bahawa Gawai Dayak 2025 merupakan masa yang tepat bagi seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira kaum dan latar belakang untuk meninjau transformasi yang telah dan sedang dilaksanakan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Kepada semua yang pulang ke kampung halaman dari luar Sarawak, inilah peluang untuk melihat perkembangan negeri kita, menyedari usaha-usaha yang sedang dijalankan, dan memikirkan bagaimana kita boleh sama-sama menyumbang kepada pencapaian PCDS 2030,” katanya dalam perutusan sempena Gawai Dayak 2025.
Beliau menegaskan bahawa Sarawak kini berada pada landasan yang kukuh menuju masa depan yang lebih gemilang hasil dasar pembangunan inklusif dan strategik kerajaan negeri yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.
“Sarawak pada tahun 2025 sudah sangat berbeza daripada Sarawak pada tahun 2020 atau 2015.
“Namun Sarawak menjelang 2030 akan jauh lebih maju kerana anda, kerana saya, dan kerana kita semua berganding bahu dalam usaha membina masa depan negeri tercinta ini,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Dr Sim turut menyeru rakyat Sarawak untuk meneruskan semangat kerjasama merentas kaum dalam memacu pembangunan negeri.
“Gawai bukan hanya untuk masyarakat Dayak, kita ada Melayu, Cina dan semua kaum turut bersama-sama meraikannya,” katanya lagi. -TVS