SELAYANG, 31 Mei: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan dua penambahbaikan penting dalam pemeriksaan kenderaan berat bermula 1 Jun bagi memperkukuh piawaian keselamatan serta meningkatkan kecekapan sistem dan kualiti perkhidmatan kepada pengguna.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, penambahbaikan melibatkan aspek pemeriksaan ketebalan bunga tayar dan pemeriksaan khusus terhadap kenderaan berat jenis tipper dumper.
“Penambahbaikan prosedur pemeriksaan ini melibatkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) seperti PUSPAKOM Sdn Bhd dan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2025.
“Semua kenderaan perdagangan sama ada barangan atau perkhidmatan awam mesti mempunyai ketebalan bunga tayar sekurang-kurangnya 1.6mm pada keseluruhan permukaan tayar yang bersentuhan dengan jalan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen (B2) Peringkat Negeri Selangor 2025 di Selayang, Sabtu lalu.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Selain itu, JPJ turut memberi penekanan terhadap pemeriksaan kenderaan jenis tipper dumper yang biasa digunakan untuk mengangkut baja, arang batu, habuk kayu, jagung dan padi.
“Mulai 1 Jun 2025, kenderaan tipper dumper yang memiliki pagar sisi melebihi spesifikasi akan gagal dalam pemeriksaan, sejajar dengan Syarat Permit Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan pelan teknikal kenderaan yang diluluskan,” ujar Aedy.
Menurutnya, penambahbaikan tersebut bukan sahaja bertujuan memperketat kawalan tetapi juga untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa.-TVS