KUCHING, 15 Sept: Budaya bekerja dari rumah dan jadual kerja yang fleksibel akan menjadi pilihan setelah beralih ke fasa endemik.
Ketua Menteri , Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, evolusi ini bermaksud majikan harus menggunakan pengaturan kerja hibrid dan memberikan kelonggaran bagi pekerja untuk bekerja di mana sahaja dan pada bila-bila masa walaupun dunia telah pulih daripada wabak COVID-19.
Dalam mengekalkan produktiviti katanya, setiap organisasi mahupun syarikat, perlu memberi lebih banyak latihan mengenai teknologi supaya pekerja mereka dapat meningkatkan kemahiran sekaligus menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja baharu.
“Saya meramalkan bahawa budaya bekerja dari rumah dan mempunyai jadual kerja yang fleksibel tetap akan menjadi pilihan paling selamat semasa peringkat endemik COVID-19.
“Oleh yang demikian, syarikat yang mempunyai protokol yang ketat dan jelas untuk bekerja di tempat dan jarak jauh cenderung mengekalkannya dan menarik bakat digital yang lebih baik di kalangan anak muda kita dalam jangka masa panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program Pengukuhan Graduan Sarawak (GETS) 4.0 secara hibrid di Wisma Bapa Malaysia.
Sementara itu, mengenai program GETS 4.0 Abang Johari berkata, ia memainkan peranan penting lebih-lebih lagi dalam memupuk pemimpin digital dan menanam budaya teknologi dalam kalangan anak muda.
Tambahnya, ia sejajar dengan inisiatif meningkatkan kecekapan digital ekonomi menerusi Strategi Ekonomi Digital Sarawak dengan penyediaan landasan kepada generasi muda untuk meningkatkan ilmu pengetahuan menerusi bidang teknologi dan ekonomi digital.
Malah, program GETS turut dirancang dengan tumpuan khusus seperti analisis data dan kemahiran menyelesaikan masalah melalui latihan pekerjaan.
“Oleh itu, saya menggesa anak-anak muda di Sarawak untuk melihat dan meneroka peluang yang ada menerusi agenda digitalisasi negeri ini.
“Saya percaya GETS 4.0 dapat memainkan peranan penting dalam menanam budaya teknologi terhadap usahawan digital serta mencari kaedah untuk menerapkannya dalam budaya kerja kita,” ujarnya.
Pada masa sama, Abang Johari turut memberitahu Sarawak akan terus melabur dalam mengembangkan bakat digital, teknikal dan kreatif dalam usaha mencapai Revolusi Industri 4.0.
“Saya baru-baru ini telah melancarkan Strategi Pembangunan 2030 Pasca COVID-19 (PCDS 2030) yang merupakan strategi penyesuaian semula jangka panjang yang memfokuskan kepada pembangunan sosio-ekonomi keseluruhan Negeri melalui pengagihan kekayaan yang adil melalui pekerjaan dan peluang perniagaan.
“Kita harus menyusun semula arah ekonomi negeri untuk terus berada di landasan yang betul untuk mencapai visi menjadi ekonomi maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya. -TVS