BUKIT MERTAJAM, 30 Mei: Polis memberkas seorang lelaki selepas dipercayai menceroboh dan mengintai di dalam tandas wanita sebuah stesen minyak di Seberang Jaya di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner (ACP) Helmi Aris berkata, pihaknya menerima laporan selepas video kejadian berkenaan tular.
Katanya, video berdurasi 27 saat itu memaparkan kejadian seorang lelaki telah memasuki tandas wanita dan mengintai.
“Siasatan lanjut kemudiannya mendapati kejadian itu berlaku pada 5 Mei lalu kira-kira pukul 6.21 pagi.
“Suspek berjaya ditangkap (hari ini) selepas polis menerima laporan mengenai kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Helmi, suspek dijangka akan direman di Mahkamah Majistret di sini esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – TVS