KUCHING, 30 Mei: Hab pekerjaan berpusat Kerajaan Sarawak, JobSarawak terus mengukuhkan peranannya merapatkan jurang antara pendidikan dengan kerjaya apabila menyertai Pameran Projek Tahun Akhir Fakulti Kejuruteraan, Pengkomputeran dan Sains (FECS) Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak (Swinburne Sarawak), baru-baru ini.
Pameran sehari itu berlangsung pada 29 Mei di kampus universiti berkenaan dan turut melibatkan rakan strategik lain seperti Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS), Petroleum Sarawak Berhad (Petros), Perbena Emas Sdn. Bhd. dan James Dyson Foundation.
Penglibatan JobSarawak pada acara itu adalah selaras dengan misi utamanya untuk menghubungkan bakat tempatan dengan peluang pekerjaan bersesuaian terutamanya dalam memperkasa graduan baharu bagi menghadapi cabaran pasaran kerja semasa.
Sepanjang acara berlangsung, wakil JobSarawak berinteraksi secara langsung dengan pelajar pelbagai bidang pengajian, memperkenalkan fungsi utama platform mereka termasuk cara membina profil digital, perkongsian tip penyediaan resume mengikut standard industri terkini dan penerangan mengenai padanan kerja pintar yang ditawarkan melalui sistem JobSarawak.
“JobSarawak berhasrat menjadi jambatan antara bakat akademik dan keperluan industri. Kehadiran kami di Swinburne Sarawak mencerminkan misi kami untuk memperkasa generasi tenaga kerja baharu negeri ini,” kata wakil JobSarawak.
Salah satu tarikan utama platform tersebut ialah algoritma padanan kerja bijak yang mampu menyenaraikan peluang pekerjaan paling relevan berdasarkan kemahiran, kelayakan dan aspirasi kerjaya setiap pencari kerja sekali gus mempercepatkan peralihan dari dunia akademik ke alam pekerjaan.
Penyertaan aktif JobSarawak adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Sarawak ke arah pembangunan modal insan mampan seperti digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030). – TVS