KUCHING, 30 Mei: Syarikat teknologi tempatan, SOCOE Holdings Sdn. Bhd. (SOCOE) meneruskan komitmen dalam memperkasa generasi muda Sarawak melalui kolaborasi strategik bersama Fakulti Kejuruteraan, Komputer dan Sains (FECS), Swinburne University of Technology Sarawak.
Inisiatif yang dijayakan menerusi pameran projek tahun akhir universiti itu diadakan semalam, 29 Mei bertujuan memperkukuh hubungan antara dunia akademik dan industri dengan memberi penekanan kepada pendidikan berasaskan penyelesaian masalah serta pendedahan kepada cabaran dunia sebenar.
Bertemakan ‘People in STEM Can Work Together to Build a Better World’, pameran tersebut mengetengahkan pelbagai hasil penyelidikan, inovasi dan projek teknologi oleh pelajar tahun akhir yang telah dijalankan sepanjang tahun pengajian mereka.
Kerjasama antara SOCOE dan Swinburne Sarawak ini merupakan lanjutan kepada usaha berterusan kedua-dua pihak dalam menyokong aspirasi pembangunan negeri, khususnya menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak (PCDS) 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Menurut Pengarah Urusan SOCOE, JW Sam, penglibatan syarikat dalam pameran ini adalah sebahagian daripada pelaburan jangka panjang terhadap pembangunan generasi muda Sarawak.
“Kami mahu memperkasa pelajar untuk menterjemah ilmu kepada tindakan, dan cita-cita kepada impak. Usaha ini penting untuk merapatkan jurang antara pendidikan dan pekerjaan, agar pelajar benar-benar bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar sejak hari pertama,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau turut menekankan kepentingan memberi pendedahan praktikal serta peluang menyelesaikan masalah dunia sebenar kepada pelajar bagi memastikan mereka mampu bersaing dalam pasaran kerja yang pesat berubah dan berasaskan teknologi.
Sementara itu, Dekan FECS Swinburne Sarawak, Profesor Su Hieng Tiong, turut menyambut baik kolaborasi tersebut dan menyifatkannya sebagai peluang penting untuk membentuk pelajar yang lebih kritikal, inovatif dan berorientasikan penyelesaian.
“Kami komited untuk mencabar pelajar melangkaui bilik kuliah, dan menghasilkan penyelesaian yang boleh memberi impak nyata kepada masyarakat,” ujar beliau.
Lapan anugerah khas yang diberikan sepanjang acara tersebut telah ditaja oleh SOCOE, tiga daripadanya merupakan kategori berkumpulan, iaitu Anugerah Kumpulan Terbaik bagi Sains Komputer, Anugerah Kumpulan Terbaik bagi Sains, dan Anugerah Pencapaian Terbaik bagi Sains Komputer.
Manakala lima lagi anugerah mengiktiraf pencapaian individu dalam bidang kejuruteraan merangkumi Robotik dan Mekatronik, Kejuruteraan Awam, Mekanikal, Kimia serta Elektrik dan Elektronik.
Kerjasama ini sekali lagi menegaskan peranan SOCOE dalam menyokong inovasi, pembangunan bakat dan kesiapsiagaan tenaga kerja masa hadapan di Sarawak, seiring matlamat melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga bersedia sepenuhnya untuk dunia sebenar. – TVS