Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Exco Persatuan Dayak Miri, Betty Pan Peter meluahkan tekad meneruskan legasi ibunya yang mahir menghasilkan minuman warisan ini. Foto TVS

Betty lestarikan tradisi pembuatan tuak tradisional

ByVanessa Enjop

MIRI, 29 Mei: Tradisi pembuatan Tuak, minuman tradisional masyarakat Dayak yang menjadi simbol budaya dan penyambut tetamu dalam majlis keramaian, terus dipertahankan oleh Betty Pan Peter yang bertekad meneruskan warisan keluarganya.

Berasal dari Ulu Teru, Tinjar dan kini menetap di Miri, Betty, 59, yang juga Exco Persatuan Dayak Miri merangkap Ketua Bahagian Kebudayaan berkata, tuak bukan sekadar minuman, tetapi satu lambang identiti etnik yang harus dipelihara.

“Tuak adalah minuman tradisi kita Dayak, sudah turun-temurun. Tuak sudah diperkenalkan kepada kita di masa hari perayaan, gawai ataupun keramaian yang lain, pesta perkahwinan dan lain-lain lagi ada aktiviti keramaian. Memang tuak satu-satunya akan dihidangkan kepada tetamu,” katanya.

Menurutnya, proses pembuatan tuak yang diwarisi sejak kecil menggunakan bahan asas yang tidak berubah hingga kini, nasi pulut, ragi tradisional (ciping), dan gula. Namun, ia bukan semudah yang disangka, kerana proses ini turut melibatkan pantang larang dan kawalan emosi.

“Mak saya sangat menjaga prosesnya. Kami tidak boleh sebarangan bertanya atau masuk campur. Malah, emosi dan persekitaran juga perlu dijaga, mesti bersih dan kita kena happy mood masa buat,” ujarnya meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran.

Betty mula menghasilkan Tuak sendiri secara aktif kira-kira sedekad lalu. Kemenangannya dalam pertandingan Tuak anjuran persatuan Dayak sebelum pandemik COVID-19 menjadi titik tolak kepada penerimaan lebih luas, termasuk tempahan bagi majlis besar seperti perkahwinan yang mencecah 70 meja tetamu.

“Kadang-kadang ragi tidak menjadi, atau tempat simpan tidak sesuai.  Tuak boleh masam atau rosak. Ia perlukan kesabaran dan perhatian yang teliti.

“Tuak ni, dia agak sensitif kalau buat. Dia tidak boleh ada benda-benda asing. Dia jadi masam, ataupun kadang-kadang tuak tu dia berkulat. Jadi, tidak boleh digunakan langsung. Terpaksa dibuang,” tambahnya.

Dalam memperkasa potensi tuak, Betty percaya ia mampu menembusi pasaran luar Sarawak jika diberikan bimbingan dan pembungkusan yang sesuai.

“Kita boleh ubah suai resepi, cuba tambah kreativiti. Kalau gagal sekali, cuba lagi sampai jadi,” katanya.

Dengan komitmen tinggi dalam memperjuangkan budaya Dayak, Betty berharap Tuak akan terus dikenali bukan sahaja sebagai simbol budaya komuniti, tetapi juga sebagai warisan Sarawak yang mampu dibanggakan di peringkat lebih luas.— TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan