PUTRAJAYA, 29 Mei: Pesta Kaamatan dan Hari Gawai bukan sahaja perayaan warisan yang kaya dengan nilai adat resam dan budaya, malah ia melambangkan semangat kesyukuran, muafakat dan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kepelbagaian budaya, bahasa, dan warisan dimiliki Malaysia merupakan kekuatan yang tidak ternilai.
“Ia menjadikan Malaysia unik pada mata dunia dan perlu terus dipelihara, dihormati dan diraikan oleh semua lapisan masyarakat.
“Dalam dunia yang semakin moden dan mencabar ini, generasi muda memainkan peranan penting dalam mewarisi dan mengekalkan adat resam serta amalan budaya nenek moyang.
“Mereka harus dididik untuk memahami, menghormati dan menerima kepelbagaian sebagai satu landasan keharmonian dan kekuatan nasional,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media menjelang sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.
Aaron Aro menambah, kerajaan melalui KPN kekal komited dalam memperkukuh nilai perpaduan sebagai teras pembangunan negara.
Seiring dengan semangat itu, katanya pelbagai inisiatif seperti program silang budaya, pendidikan warisan, serta dialog antara komuniti akan terus diperkasa.
“Semangat ‘Segulai Sejalai’ menjadi lambang kepada kekuatan kita sebagai sebuah negara berbilang kaum dan etnik.
“Ia bukan hanya slogan, tetapi nilai hidup yang harus ditanam dalam hati setiap warganegara, khususnya generasi muda yang bakal mewarisi masa depan Malaysia,” katanya.
Dalam ucapannya itu, Aaron mengajak rakyat Malaysia menyambut perayaan ini dengan jiwa Malaysia MADANI, memupuk hormat dalam kepelbagaian, memelihara khazanah budaya warisan, dan memperteguh silaturahim sebagai asas kekuatan negara bangsa yang bersatu. – TVS