GEORGE TOWN, 28 Mei: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki mencuri pakaian dalam wanita di sebuah pangsapuri berdekatan Jalan Dr Wu Lien Teh di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner (ACP) Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 64 tahun berhubung kejadian berkenaan pada kira-kira pukul 10.14 pagi.
âKejadian itu didapati berlaku kira-kira pukul 4.24 pagi apabila dua helai pakaian dalam milik anak perempuan pengadu yang disidai di balkoni yang menghadap kaki lima pangsapuri telah dicuri.
âSuspek merupakan seorang lelaki yang tidak dikenali,â katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pihak polis sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian itu termasuk usaha mengesan suspek.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Mejar Nabil Fikri Abd Rahman di talian 016-4446 590 bagi membantu siasatan.
Sementara itu, satu rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai berkaitan kejadian itu tular selepas dimuat naik pengguna ke laman sosial.
Rakaman berdurasi kira-kira 35 saat itu memaparkan seorang lelaki memanjat dinding koridor sambil menghulur tangan ke arah sebuah rumah dan mencapai kain disyaki pakaian dalam. – TVS.