SUWON CITY (Korea Selatan), 28 Mei: Malaysia giat mempercepat pelaksanaan sistem tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) sebagai sebahagian usaha memperkukuh Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) negara.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pelaksanaan sistem itu akan menggantikan pondok tol fizikal dengan teknologi tol elektronik yang membolehkan kenderaan bergerak tanpa perlu berhenti.
“MLFF akan menghapuskan keperluan pondok tol, membolehkan aliran trafik lebih lancar, mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong pembangunan lebuh raya pintar serta mesra alam.
“Sistem ini menggunakan teknologi pengecaman nombor pendaftaran automatik (ALPR) untuk kutipan tol tanpa sentuhan, digabungkan dengan maklumat masa perjalanan secara waktu nyata bagi memudahkan perancangan pengguna,” katanya pada Sidang Meja Bulat Peringkat Tertinggi di sini, hari ini.
Menurut beliau, sistem itu turut dilengkapi teknologi lorong pintar dan penimbangan semasa bergerak (Weigh-in-Motion) bagi memantau beban kenderaan secara dinamik dan melindungi infrastruktur lebuh raya.
“Langkah ini penting untuk memastikan lebuh raya kekal dalam keadaan baik dan tahan lama,” jelasnya.
Tambah Nanta, kementerian turut memperluas rangkaian pengecas kenderaan elektrik (EV) di sepanjang lebuh raya sebagai sebahagian daripada inisiatif ke arah mobiliti hijau dan bandar yang saling terhubung.
“Lebuh raya pintar akan menjadi asas kepada bandar pintar dengan memastikan pergerakan yang lebih cekap dan lancar,” katanya. – TVS