Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Foto Nadim Bokhari (TVS)

Autonomi pengedaran gas disahkan, Sarawak tidak tertakluk Akta Bekalan Gas 1993

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 28 Mei: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa Sarawak tidak tertakluk kepada Akta Bekalan Gas 1993 dan dikecualikan daripada keperluan subseksyen 6(1) dan 6(3) Akta Pembangunan Petroleum 1974 untuk mendapatkan kebenaran Perdana Menteri bagi menjalankan perniagaan pengedaran gas di negeri ini.

Katanya, pengesahan itu dimuktamadkan menerusi Deklarasi Bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak, sekali gus mengesahkan kuasa perundangan dan eksekutif Sarawak dalam hal ehwal pengedaran gas.

“Deklarasi Bersama ini mengiktiraf secara jelas bahawa undang-undang Persekutuan seperti Akta Bekalan Gas 1993 tidak terpakai di Sarawak. Undang-undang yang terpakai adalah Ordinan Pengedaran Gas 2016.

“Dengan pengisytiharan ini, sebarang kekeliruan mengenai aspek kawal selia telah dihapuskan,” katanya semasa sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.

Tambah beliau, pengiktirafan terhadap kuasa Sarawak ini akan menjamin kejelasan peraturan dan kestabilan, sekali gus memperkukuh pertumbuhan industri gas di negeri ini.

“Kerajaan Sarawak akan melaksanakan perancangan bagi meningkatkan pengeluaran gas, memastikan penggunaannya secara mampan oleh industri dan menyokong penghasilan tenaga bersih.

“Ini penting bagi memastikan Sarawak mencapai matlamat sebagai Hab Gas Karbon Rendah di Kuching,” jelasnya.

Jelas beliau lagi, inisiatif ini membuka peluang pelaburan luas dalam sektor huluan, pertengahan dan hiliran, termasuk pembangunan tapak penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) di perairan barat Sarawak.

“Usaha ini berpotensi menyumbang RM120 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak dan mewujudkan 185,000 pekerjaan berpendapatan tinggi,” ujar beliau.

Menurutnya, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) akan memainkan peranan utama sebagai pengagregat gas dan pengurus sumber bagi membangunkan infrastruktur pengedaran gas, menjamin bekalan mencukupi untuk keperluan industri dan isi rumah serta melaksanakan tapak CCS bagi menyokong keperluan industri karbon rendah di Kuching.

Premier menegaskan bahawa dengan pengesahan autonomi sepenuhnya ini, Sarawak berada pada landasan kukuh untuk memacu pembangunan sektor tenaga dan memperkukuh kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri gas negara. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan