KUCHING, 28 Mei: Kerajaan Sarawak kini dalam proses melaksanakan Pihak Berkuasa Pelabuhan Sarawak sebagai satu entiti tunggal untuk mengawal selia semua aktiviti pelabuhan di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini susulan kelulusan Ordinan Pihak Berkuasa Pelabuhan Sarawak pada Mei 2024.
“Semua pihak berkuasa pelabuhan sedia ada sedang melalui proses pengkorporatan bagi membentuk syarikat pengganti yang akan mengurus aset dan operasi pelabuhan masing-masing. Keseluruhan proses dijangka selesai menjelang suku keempat tahun 2025,” katanya semasa menyampaikan penggulungan bagi Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak di Persidangan DUN Sarawak, hari ini.
Dalam pada itu, Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak turut memaklumkan kajian kebolehlaksanaan teknikal dan ekonomi bagi pembangunan Pelabuhan Laut Dalam Tanjung Embang sedang giat dilaksanakan.
Beliau berkata, ia merangkumi kajian tapak, pemerhatian pasang surut, aliran arus laut, penyiasatan tanah dan penilaian impak alam sekitar yang penting untuk menentukan reka bentuk dan daya tahan projek ini.
“PETROS juga sedang menjalankan perancangan induk bersepadu bagi memastikan keselarasan dalam semua komponen seperti infrastruktur pelabuhan, sistem tenaga, teknologi penangkapan karbon serta pelan perindustrian. PETROS turut dalam proses melantik perunding teknikal antarabangsa bagi merangka pelan induk Hab Rendah Karbon Kuching (KLCH),” jelasnya.
Pada masa sama, Uggah mendedahkan proses rundingan pengambilalihan Pelabuhan Bintulu daripada bidang kuasa persekutuan kepada Sarawak kini berada di fasa akhir dan dijangka dimuktamadkan sepenuhnya dalam tahun ini.
“Langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan dan integrasi pelabuhan dalam rangka Pelan Induk Pelabuhan Sarawak. Pelan Induk Pelabuhan Sarawak merupakan satu visi transformatif yang bakal mengubah landskap ekonomi negeri ini,” katanya.
Menurut Uggah, ia bukan sekadar pelabuhan sebagai tempat transit tetapi sebagai enjin utama pertumbuhan ekonomi yang menjadikan Sarawak pintu masuk utama ke Borneo, rantau Asia dan dunia selari dengan aspirasi rakyat dan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030. – TVS