KUCHING,28 Mei: Sarawak kini memulakan proses pendaftaran harta intelek (IP) bagi melindungi inovasi teras dan algoritma di sebalik pembangunan Keteq.ai, sistem semikonduktor berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Mendedahkan perkara itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata proses tersebut merupakan langkah penting dalam menjamin hak milik intelek, menarik pelabur, dan mewujudkan asas kukuh untuk eksport teknologi ciptaan tempatan.
“Melalui proses pendaftaran IP ini, kita bukan sahaja melindungi hasil inovasi anak tempatan, tetapi juga meletakkan Keteq.ai sebagai peneraju global dalam bidang reka bentuk semikonduktor berasaskan AI,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan semasa Persidangan Hari Kelapan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Sarawak Ke-19 di sini pada Rabu.
Keteq.ai, yang dibangunkan oleh Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor Sdn Bhd dan rakan antarabangsa United Kingdom, CSA Catapult yang berpangkalan di Newport, Cardiff, merupakan satu pencapaian teknologi yang mampu mengesan dan membetulkan gangguan dalam sistem kuasa secara masa nyata.
Peranti pintar ini membawa pendekatan baharu dalam penggunaan AI tertanam (embedded AI) menjadikan mesin lebih pintar, cekap, dan berkeupayaan bertindak secara autonomi.
Abang Johari berkata, pembangunan dan pematangan Keteq.ai ke tahap kesediaan komersial merupakan bukti kebolehan Sarawak dalam menghasilkan inovasi bertaraf industri yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Inisiatif-inisiatif berani seperti ini akan mempercepatkan matlamat kita untuk menjadikan Sarawak sebagai hab semikonduktor yang dihormati di rantau ini,” katanya lagi.
Pelancaran Keteq.ai dan usaha pendaftaran harta intelek ini mencerminkan pendekatan holistik Sarawak dalam membina masa depan berasaskan teknologi, sekali gus memperkukuh posisi negeri ini dalam landskap ekonomi digital dan inovasi global. – TVS