KUCHING, 28 Mei: Sebanyak 816 kenderaan telah diperiksa dengan sebanyak 200 notis ketidakakuran telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas yang dikesan dalam Ops Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak di dua lokasi iaitu Batu 15 Jalan Kuching menghala ke Serian dan Batu 15 Jalan Serian menghala ke Kuching semalam.
Operasi itu dijalankan bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
JPJ Sarawak dalam kenyataannya berkata, operasi ini merupakan satu usaha kolaboratif antara agensi penguatkuasaan dalam memastikan pematuhan undang-undang serta meningkatkan keselamatan jalan raya secara menyeluruh.
Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili turut serta bersama anggota dalam menjayakan operasi tersebut yang dijalankan dengan keanggotaan seramai 45 pegawai dan anggota JPJ, lima anggota JSPT dan tujuh pegawai AADK.
“Sebuah kereta turut disita selepas didapati dipandu dengan cukai jalan yang telah tamat tempoh serta tanpa perlindungan insurans yang sah.
“Saringan air kencing yang dijalankan oleh pihak AADK ke atas 10 individu pula mendapati dua orang positif dadah jenis methamphetamine, sekali gus menunjukkan pentingnya tindakan pencegahan berterusan terhadap penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan pengguna jalan raya,” kata kenyataan itu.
Ops Bersepadu ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa sebagai langkah proaktif memastikan undang-undang dipatuhi dan jalan raya kekal selamat untuk semua.-TVS