KUCHING, 28 Mei: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) Sarawak terus komited memperkasakan usahawan negeri ini melalui kerjasama strategik bersama SME Corp Malaysia, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensi berkaitan.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Ripin Lamat menegaskan kepentingan semua pihak terlibat untuk bergerak seiring dan menyepadukan usaha dari peringkat dasar hingga pelaksanaan, bagi memperkukuh peranan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam merancakkan ekonomi negeri.
“Negara tidak boleh terus bergantung kepada syarikat besar, sebaliknya perlu memperkukuhkan kekuatan daripada akar umbi seperti PMKS,” katanya pada Majlis Penutupan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) ke-11 di Perkampungan Sukan Sarawak di sini, hari ini.
Program TUBE Sarawak edisi ke-11 melibatkan seramai 60 usahawan muda dalam program intensif selama lapan hari bermula 21 hingga 28 Mei 2025, dengan fokus kepada kelangsungan perniagaan, digitalisasi dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
Ripin turut menggesa para peserta agar menjadikan keusahawanan sebagai satu budaya serta berani meneroka teknologi baharu seperti digitalisasi, kecerdasan buatan (AI), blockchain dan automasi.
“Kita semua tahu bahawa bidang keusahawanan sekarang ini dipengaruhi oleh perkembangan teknologi dan ini selaras dengan wawasan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memperkukuh ekonomi digital Sarawak dan anda perlu mengambil peluang ke arah teknologi disruptif seperti kecerdasan buatan (AI), blockchain, automasi dan Internet of Things (IoT),” tambahnya.
Beliau turut menggalakkan peserta memanfaatkan khidmat kaunselor dan penasihat SME Corp bagi mempercepat pertumbuhan perniagaan serta mengelakkan kesilapan kritikal dalam fasa awal keusahawanan.
“Saya mahu semua peserta mempunyai keberanian untuk bermula dan konsisten untuk bertahan dalam dunia perniagaan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi SME Corp Malaysia, Mohd Izham Abdullah berkata Program TUBE bukan sekadar menyampaikan ilmu asas keusahawanan, malah turut membentuk daya tahan, daya saing serta kemahiran mengemudi perniagaan dalam landskap baharu.
Menurutnya, dunia perniagaan masa kini berdepan persaingan yang sengit, dipengaruhi oleh perubahan teknologi dan pasaran yang berlaku secara mendadak.
Katanya, SME Corp yakin dengan potensi para peserta dan akan terus komited menyokong mereka melalui pelbagai inisiatif termasuk pembiayaan Tunas-i, Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP), Program Bumiputera Microfinance Initiative (BMFI) serta program berasaskan eksport seperti Going Export Bumiputera (GEB) dan SMEs Go Global.
“Jangan sia-siakan segala yang telah dipelajari ini. Teruskanlah perjuangan, teruskan semangat anda yang berkobar-kobar,” katanya.