KUCHING, 28 Mei: Kutipan hasil Sarawak mencecah RM4.3 bilion atau 30 peratus daripada unjuran tahunan sebanyak RM14.2 bilion setakat April lepas.
Timbalan Premier merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kutipan tersebut menunjukkan prestasi yang stabil bagi empat bulan pertama tahun ini.
“Hasil ini disumbang oleh beberapa sumber utama, dan kita akan terus memantau aliran pendapatan negeri sepanjang tahun bagi memastikan kita mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Sumber-sumber utama hasil tersebut termasuk cukai jualan negeri sebanyak RM1.76 bilion, pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas sebanyak RM1.17 bilion, dividen sebanyak RM608 juta, royalti air mentah sebanyak RM229 juta, pendapatan faedah sebanyak RM250 juta, hasil hutan sebanyak RM65 juta, premium tanah sebanyak RM59 juta, geran persekutuan dan pembayaran balik sebanyak RM25 juta, serta sumber-sumber lain seperti royalti perlombongan, jualan air, dan sewa tanah sebanyak RM137 juta.
“Memandangkan persekitaran ekonomi yang mencabar dan isu-isu geopolitik yang mempengaruhi pasaran minyak dan gas secara global, kami menjangkakan unjuran hasil kami untuk tahun ini akan terjejas,” ujarnya lagi.
Sementara itu, bagi tahun 2024, Uggah memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah membelanjakan RM8.66 bilion daripada keseluruhan RM9.1 bilion peruntukan belanjawan pembangunan, iaitu 95 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Katanya, perbelanjaan pembangunan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam mempercepat pelaksanaan projek strategik untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan sosioekonomi Sarawak.
“Dengan perbelanjaan yang tinggi bagi pembangunan serta kutipan hasil yang memberangsangkan pada awal tahun ini, Sarawak berada di landasan yang kukuh untuk mencapai pertumbuhan mampan,” ujarnya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa prestasi kewangan negeri akan terus diperkukuhkan melalui pengurusan fiskal yang berhemat dan pelaksanaan dasar yang menyokong pembangunan ekonomi jangka panjang. – TVS