KUCHING, 28 Mei: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mempelawa syarikat-syarikat di negara ini, khasnya di Sarawak yang terlibat dalam industri makanan dan minuman (F&B) serta barangan pengguna cepat laris (FMCG) untuk menyertai China-ASEAN Expo (CAEXPO) Edisi ke-22 di China pada September ini.
Pengarah MATRADE Sarawak, Suwardy Abdul Shukor berkata, usahawan serta usahawanita F&B dan FMCG di Sarawak disaran untuk menyertai ekspo ini untuk mengambil peluang mempromosikan produk serta perkhimatan mereka di pasaran global seperti di China, selain mendalami pengetahuan dalam bidang keusahawan menerusi perkongsian serta sumbang saran dengan pemain industri lain di peringkat antarabangsa.
“Kolaborasi antara MATRADE dan China Asian Expo adalah untuk mendedah selain memberi pendedahan kepada syarikat-syarikat Malaysia, terutamanya syarikat di Sarawak ini untuk menyertai pelbagai program ekspo yang dianjurkan di Nanning ini,” katanya ketika ditemui TVS pada Persidangan Promosi CAEXPO Edisi Ke-22 di Kuching pada Rabu.
Menurutnya, ini merupakan penyertaan Malaysia buat kali ke-22 dan jelajah Persidangan Promosi CAEXPO kali ini bukanlah kali pertama dianjurkan di Sarawak, kerana program seumpama ini pernah diadakan di wilayah ini.
Suwardy menambah, pihak penganjur akan meneruskan jelajah CAEXPO ini ke negara-negara ASEAN lain dan Malaysia menjadi tumpuan pada masa kini kerana kita menjadi tuan rumah kepada persidangan kemuncak ASEAN pada ketika ini.
Pada masa yang sama, Suwardy turut menyeru syarikat-syarikat F&B dan FMCG di Sarawak yang patuh Syariah untuk turut serta dalam mempromosikan produk mereka kerana pasaran barangan makanan, minimum serta keperluan diri yang halal semakin mendapat tempat di pasaran dunia.
“Kita bukan sahaja memberi tumpuan kepada industri makanan dan minuman (F&B), malah syarikat-syarikat barangan pengguna cepat laris (FMCG), contohnya kosmetik dan fokus kami juga adalah syarikat-syarikat yang mempunyai sijil-sijil halal kerana kita mahu memperkenal serta memaklumkan kepada negara luar bahawa Sijil Halal Malaysia merupakan sijil yang diiktiraf di peringkat global,” jelasnya.
China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut. Pada tahun 2024, perdagangan dua hala meningkat sebanyak 7.5 peratus, mewakili 16.8 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.
Sementara dari Januari hingga April 2025, nilai keseluruhan perdagangan mencecah RM161.98 bilion, dipacu oleh eksport produk elektrik dan elektronik (E&E).
China-ASEAN Expo (CAEXPO) Edisi ke-22 bakal diadakan di Nanning, China bermula 17 hingga 21 September 2025.-TVS