KUCHING, 28 Mei: Dalam usaha memastikan kesiapsiagaan pegawai-pegawai, satu Taklimat Latihan Tindakan & Pemindahan Semasa Kecemasan Kebakaran telah berjaya dianjurkan oleh Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak semalam.
Dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Padungan, seramai 50 orang pegawai JIM Sarawak dari pelbagai gred telah mengambil bahagian dalam latihan penting ini.
JIM Sarawak dalam kenyataannya berkata, sesi taklimat pagi telah diadakan di Urban Transformasi Centre (UTC) Kuching dari jam 9 pagi sehingga 12 tengah hari telah disampaikan oleh TPgB II Tan Ming Chai, di mana para peserta diberikan pendedahan teori mengenai prosedur dan tindakan yang perlu diambil semasa kecemasan kebakaran.
Ini diikuti dengan sesi praktikal yang lebih mendalam, iaitu latihan asas kebakaran dan pengungsian bangunan, yang berlangsung di Bahagian Penguatkuasa Pending dari jam 2.30 petang sehingga 4 petang.
“Latihan ini direka khusus untuk memberi pengalaman langsung kepada semua pegawai terlibat.
“Objektif utama penganjuran latihan ini adalah untuk memastikan pegawai-pegawai lantikan Emergency Response Team (ERT) JIM Sarawak sentiasa bersedia dan cekap dalam menghadapi situasi kecemasan yang sebenar,” kata kenyataan itu.
Pendedahan yang diberikan merangkumi aspek-aspek kritikal seperti cara bertindak dengan tenang, melatih respons pantas dan teratur, serta menguji keberkesanan pelan pemindahan yang telah ditetapkan.
“Aspek kerjasama dan kepekaan terhadap arahan juga ditekankan, selain meningkatkan kesedaran tentang prosedur keselamatan secara keseluruhan.
“Melalui latihan ini, setiap pegawai yang terlibat didedahkan secara langsung dengan kepentingan untuk tidak panik dan sebaliknya, bertindak dengan teratur,” tambah kenyataan itu.
Ia merupakan satu platform penting untuk menguji bukan sahaja keberkesanan pelan pemindahan sedia ada, tetapi juga untuk memupuk semangat kerjasama dan kesedaran kolektif dalam kalangan warga kerja JIM Sarawak.
Kesediaan ini adalah kunci utama dalam memastikan keselamatan semua pihak sekiranya insiden kebakaran berlaku.-TVS